KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) telah meluluskan 527 penerbangan tambahan untuk musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, MOT menjelaskan kelulusan ini adalah 43 peratus lebih banyak berbanding kapasiti tambahan yang diluluskan pada musim perayaan Aidilfitri tahun lepas.

Menurut kementerian tersebut, langkah itu dibuat bertujuan menampung permintaan yang tinggi menjelang sambutan Aidilfitri.

"Selari dengan industri penerbangan antarabangsa, penetapan harga tiket biasa adalah berdasarkan mekanisme dinamik di mana pembeli awal boleh mendapat harga terbaik apabila masih banyak lagi tiket belum terjual.

"Namun harga boleh menjadi mahal apabila baki tiket semakin berkurangan di pasaran," kata kenyataan tersebut.

MOT menjelaskan, pihaknya dan Mavcom telah mengambil langkah proaktif dan mengalakkan syarikat-syarikat penerbangan untuk menawarkan harga penerbangan berpatutan.

Menurut MOT, Mavcom telah meluluskan semua permintaan kapasiti tambahan oleh syarikat penerbangan yang menawarkan tambang tetap ke destinasi-destinasi utama dalam Malaysia.

"Berikutan kelulusan Mavcom, syarikat penerbangan AirAsia dan Batik Air telah mengumumkan tiket penerbangan tambang tetap pada 7 dan 10 Mac.

"Mavcom turut meluluskan penerbangan-penerbangan tambahan lain untuk memastikan ketersediaan tempat duduk yang lebih tinggi dalam menangani peningkatan permintaan dan memastikan harga penerbangan berpatutan," katanya lagi.

MOT juga menjelaskan, pihaknya akan terus bekerjasama dengan Mavcom dalam memastikan kapasiti penerbangan yang mencukupi tersedia untuk menggalakkan harga tambang penerbangan yang lebih berpatutan.